Sunday, February 8, 2009

Pantun Merdeka

Kurung pakaian tradisional lama,
Anggun digaya seorang wanita,
Tanah Melayu kau bertukar nama,
Menjadi Malaysia yang kucinta.

Ada negara berfahaman komunis,
Bertindak mentadbir bagai gerila,
Dari Portugis hingga ke Inggeris,
Engkau dijajah tanpa rela.

Kari dimasak seenak rasa,
Hidangan tersedia pembuka selera,
Sultan dan pembesar kehilangan kuasa,
Masyarakat hidup derita sengsara.

Lembu dibawa ke padang ragut,
Rumput dimakan dengan selamba,
Dipaksa, diseksa, dikerah dan diugut,
Rakyat bekerja seperti hamba.

Kayu sebatang dipijak patah,
Lalu dibaji ia hingga tajam,
Siapa engkar menurut perintah,
Mereka mereka dibunuh kejam.

Anak pandai rajin belajar,
Kuatkan azam penuh di dada,
Kurang makanan penyakit menular,
Kemudahan terhad rawatan tiada.

Pantai Langkawi indah menawan,
Bagaikan syurga di waktu petang,
Tak sanggup lihat semua penyiksaan,
Pahlawan Melayu bangkit menentang.

Anak nakal wajar disebat,
Perlu juga belas kasihan,
Walaupun serangan penjajah hebat,
Pahlawan Melayu tetap bertahan.

Dara bergaya memakai suasa,
Ke Sungai Lara pergi membasuh,
Rela berjuang sepanjang masa,
Tiada gentar ancaman musuh.

Tempoh mengandung penuh sengsara,
Lahirnya si anak seorang putera,
Bangkit berjuang menuntut merdeka,
Demi pertiwi pemimpin negara.

Peluh menitis terus mengalir,
Berderau darah terima tepukan,
Laungan “MERDEKA” di Padang Hilir,
Tunku Abdul Rahman Bapa Kemerdekaan,

Burung kelicap di dahan cempaka,
Buah pinang pecah di laman,
Sumpah perajurit di bumi merdeka,
Jasa dikenang zaman-berzaman.

Alunan suara penuh syahdu,
Hati sebak menahan rasa,
Pelbagai bangsa hidup berpadu,
Bersatu di bawah satu bahasa.

Pemuda pemudi ke sana sini,
Saling mengenali sesama mereka,
Masyarakat Malaysia aman harmoni,
Bersama pertahan negara merdeka.

0 comments: